Masyarakat
Melayu sangat terkenal dengan adab ketimuran, terutama dari segi pertuturan
serta, kaya dengan adat dan budaya. Masyarakat Melayu masih mengekalkan dua
unsur kehidupan, ‘budi’ dan ‘bahasa’ yang melengkapi satu sama lain dan mencerminkan
bangsa Melayu bukan sahaja kaya harta tetapi juga budi bahasa. Contoh, dari
segi pertuturan. Tidak disangkal lagi mengapa masyarakat Melayu gemar berkias.
Bagi mereka, berkias dalam bertutur dengan gaya santun memberikan keindahan
dalam pertuturan yang mampu memberi kesan terhadap khalayak sasaran. Walaupun
tidak berterus terang tetapi maksud itu sampai dengan jelas. Ungkapan yang
indah ini dikenali sebagai gaya bahasa simile. Gaya bahasa simile ini jelas digunakan
dalam Syair Siti Zubaidah.
Syair ini
menggunakan perkataan dan tanda yang mempunyai hubungan dengan persekitaran
masyarakat Melayu. Contoh, kesantunan dalam berbahasa, perkataan yang dipilih
bersesuaian dengan makna dan keadaan yang ingin disampaikan. Syair ini juga
merupakan refleksi kesantunan berbahasa masyarakat Melayu yang terlahir dalam
bentuk syair. Syair ini contoh sastera hikayat. Teks syair ini merupakan contoh
syair naratif yang panjang. Karya-karya yang tergolong dalam sastera hikayat
dalam bentuk puisi berupa cerita-cerita romantik dan sindiran. Sastera hikayat ini
ibarat sebuah cerita yang khas untuk menghiburkan pendengar dan pembaca. Dan
watak-watak di dalam syair ini kebanyakkannya terdiri dari anak-anak raja dan juga
puteri jelita yang berlatarbelakangkan dunia nyata dan khayalan. Syair ini
merupakan penanda kepada kejayaan wanita Melayu khasnya dalam usaha mencari dan
membina erti kebebasan serta identiti baru dalam gaya bahasa wanita. Syair ini
ibarat lumrah dan identiti yang menggambarkan luahan hati yang dalam seorang
wanita, hasrat yang terpendam serta bisikan hati wanita, sekali gus menggarap
harapan dan impian wanita terhadap imej wanita yang diingini.
Masyarakat
Melayu memandang tinggi terhadap budi bahasa. Dengan demikian, orang yang
berbudi bahasa, berbudi mulia, sopan dalam berbahasa diberi penghormatan yang
tinggi dalam masyarakat dan sebaliknya dianggap berperangai rendah, tidak
berbudi dan biadap. Buktinya dapat dilihat dalam persuratan Melayu. Kesantunan
dalam berbahasa ialah menggunakan bahasa yang baik, sopan, beradab, berperibadi
mulia, mempunyai rasa hormat terhadap teman bicaranya dianggap sebagai satu
ciri penting dalam bangsa yang bertamadun. Dari situlah muncul konsep, ‘bahasa
tidak dijual beli’, ‘hilang bahasa hilang bangsa’ dan juga ‘bahasa menunjukkan
bangsa’ yang merujuk masyarakat Melayu meletakkan bahasa sebagai suatu perkara
utama bagi menggambarkan bangsanya. Budi bahasa merupakan pekerti yang baik
atau akhlak yang terpuji. Malah, kesantunan juga dituntut dalam Islam. Contohnya,
pemilihan kata-kata yang bagus dan tepat ketika berbicara. Kesantunan dalam
berbahasa ini juga dapat dilihat dalam bentuk puisi. Pemilihan kata dalam menghasilkan
sesebuah puisi itu adalah dipilih bersesuaian dengan makna yang ingin
disampaikan, sesuai dengan kesantunan yang dimiliki sejak dahulu lagi. Selain
itu, karya sastera ini digunakan untuk mengungkap idea dan perasaan penyair
secara imaginatif dan disusun dengan teratur bagi menguatkan bahasa serta struktur
fizikal dan batinnya.
Dalam mengkaji
gaya bahasa simile, pendekatan semiotik telah diguna pakai. Pendekatan ini
adalah penerangan tentang bagaimana seluruh pengetahuan dan pengalaman
bergantung kepada tanda. Tanda-tanda tersebut terdiri daripada ikon, indeks dan simbol. Ikon merupakan tanda peniruan, indeks adalah tanda kesan yang
ditinggal, manakala simbol adalah
tanda perjanjian bersama. Tanda pula terbahagi kepada qualisign yang merupakan tanda kualiti, sinsign iaitu tanda individu, legisign,
iaitu tanda konvensional, rheme,
iaitu tanda kemungkinan, discisign,
iaitu tanda sebagai fakta dan argument,
iaitu tanda benar. Simile, dikenali sebagai perumpamaan, yang merujuk kepada
perbandingan dua hal yang pada hakikatnya berlainan, tetapi dianggap sama
dengan menggunakan kata perbandingan contoh, ‘seperti’, ‘serupa’, ‘bak’, ‘sebagai’, ‘ibarat’ dan
sebagainya. Simile juga dikenali sebagai kiasan dengan menggunakan kata
perbandingan seperti, ‘bagai’, ‘sebagai’, ‘bak’, ‘seperti’, ‘semisal’, ‘seumpama’, ‘laksana’, sepantun’ dan lain-lain. Jadi, simile
ini mengandungi dua bahagian, iaitu subjek utama dan bahan bandingan untuk
membentuk ungkapan perbandingan, yang mana selalunya mengandungi imej. Simile
mempunyai dua bentuk, pertama, pengungkapan secara tertutup dengan
memperincikan sifat persamaan antara kedua-dua perkara yang ingin dibandingkan
umpamanya “beningnya bagaikan bulan di langit”. Bentuk ungkapan gaya simile
yang kedua ialah secara terbuka, iaitu simile yang tidak memperincikan sifat
persamaannya seperti “bagaikan tiada bertemu kembali”. Simile juga mempunyai
beberapa syarat, iaitu segar dan asli kerana simile yang klise tidak akan
membawa kesan yang mendalam. Bahan bandingan yang digunakan pula mestilah
sesuai dengan subjek yang dikemukakan. Selain itu, gaya bahasa simile yang
digunakan mesti selari dengan konteks latarnya. Penggunaan ungkapan tersebut
tidak seharusnya digunakan dengan kerap. Begitu juga dengan tujuan gaya bahasa
simile haruslah selari dengan tujuan yang dibawa oleh gaya bahasa metafora.
Dari segi
analisis teks, gaya bahasa simile yang banyak digunakan adalah ‘seperti’ dan
‘laksana’, yang mana membandingkan tentang hubungan persaudaraan, kesantunan
dalam memuji, perbandingan yang menyamakan keinginan dan juga niat yang
didasari dengan ajaran agama. Dalam masa yang sama juga ada perbandingan yang
dipengaruhi persekitaran seperti bulan, bintang, matahari, baiduri, kasturi,
kuntum dan bunga cempaka. Dapat dilihat yang kesantunan bahasa yang digunakan
dalam syair ini berlandaskan agama yang mengambil kira dari ayat Al-Quran,
Hadis dan juga bait yang memuji Rasulullah, Nabi Muhammad S.A.W..
Kesimpulannya,
ungkapan dalam bentuk gaya simile ini menggunakan perkataan yang membawa makna
persamaan sesuatu perkara dengan perkara yang lain. Ia amat sesuai dengan
budaya dan adat masyarakat Melayu yang terkenal dengan adab ketimuran. Gaya
bahasa simile ini kebiasaannya dipengaruhi oleh persekitaran masyarakat Melayu
itu sendiri. Umpamanya, ‘bulan purnama’ yang boleh dilihat pada setiap tengah bulan
mengikut calendar Islam. Malah, simile membantu pengkarya bagi menyampaikan
makna kepada khalayak sasarannya.