Monday, 19 December 2016

Entry 3 : KOMUNIKASI DALAM ORGANISASI

Jurnal yang pertama, pengkaji lebih melihat akan hubungan komunikasi dalam organisasi dengan kepuasan kerja, prestasi kerja dan komitmen kepada organisasi di kalangan pekerja di sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam. Dalam kajian ini, hubungan jenis komunikasi (komunikasi ke atas, komunikasi mendatar dan komunikasi ke bawah) dengan kepuasan kerja, prestasi kerja dan komitmen kepada organisasi juga dikaji dengan lebih mendalam.

Permasalahan yang biasa dihadapi dalam sesebuah organisasi ialah bagaimana mendorong pekerja untuk bekerja dengan lebih produktif dan meningkatkan kepuasan serta prestasi kerja dikalangan pekerja. Dengan itu, pelbagai usaha telah dirancang dan dilaksanakan oleh pihak pengurusan dalam proses rekrutmen, pemilihan, penempatan dan melatih pekerja. Kajian Pincus (1986) dan Jablin (1979) menunjukkan hubungan positif antara jenis komunikasi dengan kepuasan kerja dan prestasi kerja. Kajian Robert O’Reilly (1974, dalam Anatol et.al., 1981) menunjukkan terdapat hubungan negatif dengan kepuasan kerja. Dalam kajian-kajian tersebut menjelaskan komunikasi dalam organisasi melibatkan setiap anggota dalam organisasi, maka komunikasi dalam organisasi akan mempengaruhi kepuasan kerja setiap pekerja. Apabila merujuk terhadap kajian-kajian yang dijalankan, pengkaji mendapati masih ada percanggahan tentang sebab dan akibat di antara proses komunikasi dengan kepuasan kerja. Percanggahan pendapat kajian-kajian lepas ini telah menggalakkan pengkaji menjalankan kajian ini ke atas hubungan di antara proses komunikasi dengan kepuasan kerja.

Banyak hasil kajian telah membuktikan bahawa komunikasi mempunyai hubungan dan pengaruh ke atas kepuasan kerja (Mushinsky, 1977) dan prestasi individu dan organisasi (Down & Hain, 1981, Winter 1980:Jenkin 1977; Jain 1973). Hasil kajian menunjukkan semakin erat hubungan antara penyelia & pekerja, semakin tinggi kepuasan pekerja (Alexander, Helms & Wilkin 1989; Richmond, Wagner & McCrosky 1983; Plunkett 1982; Goldhaber 1979; Falcione, Daly & Mc Crosky 1977; Muchinsky 1977; Falcione 1974a, 1974b).

Secara definisi operasi, prestasi kerja di organisasi kajian dinilai dari segi kehadiran, penglibatan, kecekapan, kepimpinan, tanggungjawab dan sebagainya. Penilaian prestasi pekerja sama ada mempunyai prestasi tinggi atau rendah adalah berdasarkan jumlah markah yang diperolehi daripada soal selidik penilaian prestasi yang diadaptasikan daripada soal selidik yang direka oleh Fatimahwati Halim dan Iran Herman (1997). Sebagai definisi operasi dalam konteks kajian ini komitmen organisasi diukur berdasarkan tahap komitmen pekerja terhadap organisasi tempat ia bekerja. Darjah atau tahap komitmen kepada organisasi ini diukur dengan menggunakan alat yang direkacipta oleh Porter and Smith (1970, dlm. Mowday et al. 1982). Alat ini dikenali sebagai Organizational Commitment Questionaire (OCQ) yang mengandungi 15 item iaitu 9 item positif dan 6 item negatif.

Dalam kedua-dua jurnal kajian ini, hubungan jenis komunikasi (komunikasi ke atas, komunikasi mendatar dan komunikasi ke bawah) dengan kepuasan kerja, prestasi kerja dan komitmen kepada organisasi telah dikaji dengan lebih mendalam. Ini dapat dilihat, jenis komunikasi yang dikaji lebih menjurus kepada Teori Pengurusan Klasik (Henri Fayol’s Theory of Classical Management). Dalam teori ini, elemen yang diterapkan ialah perancangan, penyusunan, arahan, koordinasi dan kawalan. Di mana teori ini juga meletakkan enam prinsip pengurusan iaitu, scalar chain, unity of command, unity of direction, division of labor, order dan span of control. Scalar chain, ialah prinsip yang mencadangkan organisasi harus disusun dalam keadaan vertical dan komunikasi pula harus dihadkan kepada aliran berbentuk vertical (aliran ke atas dan ke bawah berdasarkan carta organisasi). Unity of command pula mencadangkan kakitangan sepatutnya diarah untuk melaksanakan sesuatu tugas oleh hanya seorang penyelia, manakala, unity of direction, aktiviti-aktiviti yang mempunyai matlamat yang sama harus diletakkan di bawah penyeliaan seorang penyelia. Seterusnya, division of labor ialah matlamat hanya boleh dicapai jika kakitangan organisasi diberi tugas yang terhad dari segi pengkhususan kerja.order pula, mencadangkan supaya terdapat tempoh pelantikan bagi setiap kakitangan dan tugas dalam organisasi. Terakhir, span of control ialah di mana peranan seorang pengurus akan menjadi lebih berkesan jika mereka hanya mengawal sebilangan kakitangan sahaja. Fayol secara umumnya mencadangkan bilangan 20-30 orang kakitangan pada pengurusan tahap pertama dan orang kakitangan bagi pengurusan yg lebih atas.

          Dalam organisasi klasik, komunikasi tentang tugas kurang dititik beratkan. Ciri-ciri komunikasi dalam konteks pengurusan organisasi klasik dapat dilihat dari segi arah aliran komunikasi, saluran komunikasi dan stail komunikasi.

Arah aliran komunikasi dalam teori ini yg paling mustahak ialah aliran vertikal (mendatar) mengikut aliran hierarki. Kebanyakan proses komunikasi ialah komunikasi ke bawah dalam bentuk arahan dan peraturan. Hanya terdapat sedikit maklum balas daripada pihak pengurusan atasan. Walau bagaimanapun Fayol membenarkan sedikit fleksibiliti dari segi komunikasi horizontal.

Saluran komunikasi. Pelbagai saluran boleh digunakan untuk berkomunikasi misalnya saluran bersemuka, saluran bertulis dan juga melalui perantara seperti berkomunikasi melalui telefon dan komputer. Teori klasik mengandaikan bahawa saluran bertulis merupakan saluran yang paling kerap digunakan. Ringkasnya, penekanan kepada peraturan dan prosedur yang jelas bagi membolehkan organisasi berfungsi dengan berkesan membolehkan kita mengandaikan pergantungan yg besar kepada komunikasi berbentuk tulisan dalam bentuk arahan, penyataan misi,peraturan dan penilaian prestasi.

Seterusnya, gaya komunikasi, stail komunikasi lebih kepada bentuk formal. Misalnya, penggunaan pangkat atau gelaran bagi membezakan kakitangan pengurusan dan kakitangan bawahan. Pemilihan perbendaharaan kata dan penggunaan bahasa yang standard juga merupakan ciri komunikasi dalam pendekatan klasik.

Akhirnya dapatlah dirumuskan bahawa proses komunikasi iaitu komunikasi ke atas, komunikasi ke bawah dan komunikasi mendatar adalah merupakan sebahagian daripada aspek asas psikologi yang penting untuk dikaji kerana ia mempunyai hubungan rapat dengan perlakuan individu dalam organisasi. Amat penting untuk organisasi untuk melihat tentang proses-proses komunikasi yang bersesuaian untuk di beri perhatian bagi meningkatkan lagi kepuasan kerja, prestasi kerja dan tahap komitmen kepada organisasi di kalangan pekerja. Kajian ini juga dapat membentuk organisasi mengenalpasti masalah dan memahami hubungan manusia dan kemanusiaan di tempat kerja dan seterusnya dapat membantu organisasi membentuk hubungan positif dengan pekerja bagi meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan pekerja.

Entry 2 : FILEM MAT MOTO OTAI



       Filem yang ingin saya ulaskan pada kali ini adalah filem yang bertajuk Mat Moto Otai. Filem arahan Ahmad Idham ini mengisahkan empat sahabat mencecah usia 40-an yang dahulunya menggilai dunia permotoran. Mereka merindui aktiviti itu tetapi keinginan tersekat sejak berkeluarga. Mereka akhirnya kembali berjinak-jinak bergelar mat motor dan berlagak seperti anak muda kerana diabaikan isteri masing-masing yang sibuk dengan kerjaya dan aktiviti sosial. Filem ini telah dibintangi oleh para pelakon yang terdiri dari Ahmad Idham Nadzri, Datuk Eizlan Yusof, Opie Zami, Cat Farish, Elvina Mohamad, Sasha Saidin, Jue Aziz, Maznah Zulkifli, Wan Sharmila.

       Pelbagai pengajaran dan pembelajaran yang berguna telah diterjemahkan kepada setiap golongan masyarakat yang menonton. Watak sebagai seorang bapa yang bertanggungjawab terhadap anak-anak yang sangup berkorban nyawa demi menyelamatkan anak mereka dari terjerumus dengan aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral telah berjaya ditonjolkan oleh para pelakon yang memainkan watak ini sekali gus memberi kesedaran dan manfaat yang  berguna dan contoh teladan yang baik kepada setiap golongan masyarakat, Selain itu filem ini juga telah menerapakan elemen-elemen lawak jenaka dan telah berjaya membuat para penonton tidak kering gusi apabila melihat gelagat para pelakon walaupun pada hakikatnya tidak semua pelakon yang melakonkan watak ini mempunyai bakat dalam berjenaka,akan tetapi para pelakon telah menampilkan kelainan pada lakonan mereka kali ini. Beberapa elemen kejutan telah berjaya diciptakan oleh pengarah filem ini sehingga tidak terjangka di kotak pemikiran para penonton yang menonton di antaranya adalah aksi-aksi perlumbaan yang di lakukan oleh para pelakon dengan menunggang motosikal dalam had kelajuan yang tinggi. Jenis-jenis kenderaan yang digunakan semasa menjayakan filem ini juga sudah tidak lagi berada di pasaran pada masa kini kerana kenderaan jenis itu sangat terhad untuk dimiliki oleh setiap penggemar motosikal klasik yang berkuasa tinggi. Akan tetapi pihak produksi berjaya mengumpulkan sebilangan motosikal tersebut dalam keadaan rupa bentuk dan kondusi enjin yang masih lagi berada di tahap terbaik.
  
       Akan tetapi masih terdapat beberapa kelemahan dari aspek penggunaan bahasa rojak yang digunakan semasa filem ini ketika disiarkan. Ini kerana pengarah filem tidak memandang serius tentang penggunaan bahasa yang digunakan kerana sedikit sebanyak boleh mempengaruhi pemikiran para penonton bawah umur yang menontonnya, kesannya penonton di bawah umur ini akan terikut-ikut gaya percakapan dan penyampaian yang di lakukan para pelakon. Selain dari aspek penggunaan bahasa, kelemahan dari segi jalan penceritaan yang tidak lengkap dan kurang menarik juga jelas terpapar dalam penghasilan filem ini di antaranya adalah bab yang menceritakan tentang perihal rumahtangga mereka  dari segi layanan oleh isteri dan anak-anak yang tidak sempurna sehingga menyebabkan kempat-empat mereka ini  memilih  cara hidup sebagai orang yang ingin kembali semula ke zaman muda demi mengisi kekosongan dan mencari keseronakan serta kebahagian di luar sana bersama raka-rakan yang senasib dengannya. Hanya beberapa adegan sahaja yang menceritakan tentang kehidupan berkeluarga yang dipaparkan dalam filem ini sehingga para penonton tidak berapa jelas untuk memahami permasalahan hidup berkeluarga yang di hadapi oleh keempat-empat mereka ini.

       Bukan itu sahaja, lokasi yang  digunakan dalam penghasilan filem ini hanya tertumpu di kawasan yang sama di mana lokasi yang digunakan bapa mereka ketika menghabiskan masa yang terluang duduk dan berbincang bersama rakan-rakan mereka turut digunakan oleh anak-anak mereka untuk duduk dan berpeleseran bersama rakan-rakan. Ini menunjukkan seolah-olah tiada lagi lokasi  menarik yang boleh dipaparkan kepada masyarakat umum dalam penghasilan filem ini, sekali gus filem ini juga di ketagorikan gagal untuk mempromosikan kepada penonton luar negara yang menonton filem ini mengenai keindahan dan kepelbagaian tempat dan kawasan-kawasan menarik yang ada di Malaysia. Watak pelokon tambahan yang melakonkan filem ini khususnya watak sebagai wanita penggoda menampakan kelemahan di mana mereka kurang berdialog semasa memainkan watak mereka. Pelakon tambahan itu juga nampak kaku seolah-olah sebagai pelengkap sahaja dalam memenuhi jalan cerita yang hendak dipaparkan sekali gus tidak menunjukkan realiti dalam kehidupan sebenar sebagai seorang wanita penggoda.

       Kesimpulan dan pandangan yang boleh saya berikan di dalam penceritaan ini adalah,tidak sepatutnya cerita ini dilabelkan sebagai kategori filem, ini kerana tahap dalam penghasilan filem ini hanyalah sesuai dipaparkan sebagai peringkat drama sahaja yang boleh disiarkan di kaca televisyen bukan di peringkat filem  untuk dipertontonkan di pawagam-pawagam di serata Malaysia. Ini kerana kualiti filem ini tidak begitu setanding untuk dilabelkan sebagai filem demi menjaga kualti dan standart filem Malaysia pada masa akan datang. Saya sarankan pihak produksi sepatutnya lebih menitik beratkan kualiti berbanding mengaut keuntungan semata-mata ini kerana para penonton inginkan kepuasan ketika menonton setiap filem yang di paparkan di pawagam-pawagam di Malaysia. Akan tetapi keseluruhan jalan cerita ini tidaklah begitu teruk sebaliknya perlu ada penambah baikan yang rapi sebelum menghasilkan filem ini.

Thursday, 8 December 2016

Entry 1 : PERJALANAN KE KEMBOJA

Assalammualaikum WBT. Ini merupakan penulisan pertama saya yang dipaparkan di dalam blog. Di sini saya ingin berkongsi serba sedikit pengalaman ketika menjalankan misi Khidmat Masyarakat di bumi Kemboja, bertemakan "Sejernih Air Dikali" anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) Kuala Lumpur dengan usahasama bersama-sama pelajar Pace UUM K.L.

Bertarikh 21 Julai 2016 seramai 32 peserta telah menyertai misi ini dengan di ketuai oleh En. Zulhairi bin Zakariah selaku ketua penyelaras program. Program ini dimulakan dengan berkumpulnya para peserta di ruang menunggu tempat perlepasan KLIA2 lebih kurang jam 11.30 pagi. Kesemua peserta telah berkumpul lebih awal kerana terdapat beberapa taklimat hendak disampaikan oleh ketua penyelaras program sebelum misi dijalankan.







Kami berlepas dari lapangan terbang KLIA2 ke Phnom Penh International Airport lebih kurang jam 2.00 petang dengan menaiki pesawat penerbangan tambang murah Air Asia. Perjalanan kami telah mengambil masa selama hampir dua setengah jam.







Setibanya kami di Phnom Penh International Airport kami telah disambut oleh beberapa wakil dari kedutaan Malaysia yang bertugas di sana. Kami telah bermalam di sebuah perkampungan melayu kemboja di kampung Klieng Sbek yang terletak di dalam daerah Phnom Penh, jarak perjalanan dari bandar Phnom Penh ke kampung Klieng Sbek mengambil masa lebih kurang satu setengah jam. Kami telah dipandu arah oleh seorang pemandu pelancong yang merupakan anak jati kelahiran Kemboja yang beragama Islam berketuranan Melayu Kampuchia bernama Encik Abdul Samad atau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Samad. Beliau telah dipertanggungjawabkan membantu kumpulan kami sepanjang keberadaan kami di sana. 






Sepanjang perjalanan untuk sampai ke perkampungan Klieng Sbek kami telah dihidangkan dengan realiti kehidupan manusia yang hidup serba kedaifan, dengan persekitaran yang tidak selamat serta kekurangan kemudahan infrastruktur telah menyentuh perasaan setiap peserta rombongan. Perasaan bercampur baur mula terpalit di benak hati kami apabila melihat sendiri persekitaran dan cara hidup mereka yang jauh lebih mundur dari kami yang menetap di Malaysia.








Setibanya di perkampungan Klieng Sbek, kedatangan kami telah disambut oleh penduduk kampung yang majoritinya beragama Islam. Apa yang membuatkan kami lebih terharu mereka sanggup menyediakan hidangan makan malam untuk kumpulan kami walaupun pada hakikatnya penduduk kampung ini hidup dalam serba kekurangan. Layanan yang diberikan oleh mereka kepada rombongan kami sangat baik, walaupun masalah komunikasi di antara kami dengan penduduk kampung agak terbatas akan tetapi terlihat jelas di raut wajah mereka yang begitu ikhlas dan ramah dalam melayan kami. Setelah selesai jamuan makan malam kumpulan kami beredar ke homestay untuk berehat.




Hari ke-2 di Klieng Sbek kumpulan kami telah memulakan aktiviti seawal subuh dengan aktiviti yang di jadualkan adalah meninjau kerja pemasangan perigi bagi membekalkan bekalan air bersih dan tenaga solar kepada penduduk kampung yang tinggal di perkampungan Kampung Chenang. Dengan keadaan yang serba daif serta kekurangan infrastruktur sebilangan dari mereka hanya bergantung hidup dengan hasil bumi sahaja. Dengan kehadiran kami ketika di sana seakan-akan memberi sinar harapan buat mereka, ini kerana sebelum ini mereka hanya bergantung hidup dengan tadahan air hujan dan kolam buatan sendiri. Hampir setiap malam mereka hidup bertemankan lampu pelita dan tiada kemudahan elektrik disediakan di rumah mereka. Apa yang lebih menyedihkan tempat ibadat juga tidak disediakan kemudahan elektrik untuk para jemaah bersolat. Dengan bantuan yang diberikan melalui program ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mereka selama ini. Sebanyak 19 perigi dan empat buah tenaga solar telah disediakan melalui sumbangan dari program ini.














Setelah selesai melawat perkampungan Chenang kami kembali semula ke Kampung Klieng Sbek untuk program bersama kanak-kanak dan penduduk kampung yang tinggal di perkampungan tersebut. Pelbagai acara telah kami anjurkan untuk merai mereka, antaranya progarm memasak bersama penduduk kampung, program suai kenal antara pelajar dan guru serta sedikit sumbangan berbentuk wang dan kelengkapan sekolah. Alhamdullilah program ini telah mendapat perhatian dari Duta Besar Malaysia ke Kemboja iaitu Datuk Seri Hassan Malik yang turut hadir dengan menjadi tetamu kehormat dalam menjayakan program Khidmat Masyarakat ini. Setelah selesai menjayakan program pada hari itu kumpulan kami telah bergerak ke Bandar Phnom Phen di situ kami telah menginap di sebuah hotel yang terletak di tengah-tengah pusat bandar Phnom Phen.












Hari ke-3 di Bandar Phnom Phen kumpulan kami telah di bawa oleh Ustaz Samad melawat Muzium Tuol Sleng Genocide di mana tempat ini merupakan tempat penyiksaan dan penjara masyarakat Kemboja mahupun warga asing pada zaman Rejim Khmer Rouge pada tahun 1975 hingga 1979 di dalam muzium ini banyak bilik-bilik penyeksaan dipamerkan.












Setelah selesai melawat Muzium Tuol Sleng Genocide kami telah dijemput oleh pihak kedutaan Malaysia di Kemboja untuk menghadiri majlis sambutan Hari Raya di Pejabat Besar kedutaan Malaysia di sana. Pelbagai acara seperti pertandigan karaoke, pakaian beragam dan juga masakan dari Malaysia yang lazat-lazat telah disediakan. Di situ kami sempat bersuai kenal dengan para tetamu yang hadir di majlis itu.












Selepas selesai jamuan hari raya di pejabat kedutaan Malaysia kumpulan kami telah dibawa oleh Ustaz Samad menaiki bot mengelilingi Sungai Mekong. Di situ kami dapat melihat keindahan panorama bandar Phnom Phen melalui jalan di sungai Mekong.












Hari ke-4, di Bandar Phnom Phen juga ada terdapat restoran yang menyediakan masakan di Malaysia seperti nasi lemak dan roti canai. kami mengambil kesempatan dengan bersarapan pagi di restoran Mamak Corner yang jaraknya tidak berapa jauh dengan hotel kami.






Setelah selesai dengan aktiviti bebas rombongan kami berkumpul semula di Phnom Penh International Airport, rombongan kami berlepas dari Phnom Penh International Airport lebih kurang 4.30 petang.






       Alhamdullilah rombongan kami selamat tiba di KLIA2 lebih kurang jam 7.30 malam. Di sini apa yang boleh saya kongsikan sepanjang pengalaman saya ketika berada di bumi Kemboja pertama sekali rasa bertuah dan bersyukunya kerana dilahirkan di bumi Malaysia yang kaya dengan hasil bumi, rakyat dapat hidup dalam keadaan aman sentosa dan sejahtera jika hendak di banding dengan keadaan penduduk di Kemboja yang jauh ketinggalan dari pelbagai aspek. Kedua rasa insaf mula menyelubungi diri apabila melihat sendiri kesusahan yang dialami oleh penduduk kemboja ketika saya berada di sana. Akhir sekali dari saya jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua kawan-kawan yang sama-sama membantu dalam menjayakan program ini sehingga dapat berjalan dengan lancar dan jayanya walaupun sumbangan yang diberikan tidak seberapa besar akan tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka. Pelbagai kenangan dan pengalaman serta pengajaran dapat saya pelajari ketika menjalankan misi ini, sekiranya diberi peluang sekali lagi untuk mengadakan program seperti ini Insha Allah saya akan menyertainya.