Assalammualaikum WBT. Ini merupakan penulisan pertama saya yang dipaparkan di dalam blog. Di sini saya ingin berkongsi serba sedikit pengalaman ketika menjalankan misi Khidmat Masyarakat di bumi Kemboja, bertemakan "Sejernih Air Dikali" anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) Kuala Lumpur dengan usahasama bersama-sama pelajar Pace UUM K.L.
Bertarikh 21 Julai 2016 seramai 32 peserta telah menyertai misi ini dengan di ketuai oleh En. Zulhairi bin Zakariah selaku ketua penyelaras program. Program ini dimulakan dengan berkumpulnya para peserta di ruang menunggu tempat perlepasan KLIA2 lebih kurang jam 11.30 pagi. Kesemua peserta telah berkumpul lebih awal kerana terdapat beberapa taklimat hendak disampaikan oleh ketua penyelaras program sebelum misi dijalankan.
Kami berlepas dari lapangan terbang KLIA2 ke Phnom Penh International Airport lebih kurang jam 2.00 petang dengan menaiki pesawat penerbangan tambang murah Air Asia. Perjalanan kami telah mengambil masa selama hampir dua setengah jam.
Setibanya kami di Phnom Penh International Airport kami telah disambut oleh beberapa wakil dari kedutaan Malaysia yang bertugas di sana. Kami telah bermalam di sebuah perkampungan melayu kemboja di kampung Klieng Sbek yang terletak di dalam daerah Phnom Penh, jarak perjalanan dari bandar Phnom Penh ke kampung Klieng Sbek mengambil masa lebih kurang satu setengah jam. Kami telah dipandu arah oleh seorang pemandu pelancong yang merupakan anak jati kelahiran Kemboja yang beragama Islam berketuranan Melayu Kampuchia bernama Encik Abdul Samad atau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Samad. Beliau telah dipertanggungjawabkan membantu kumpulan kami sepanjang keberadaan kami di sana.
Sepanjang perjalanan untuk sampai ke perkampungan Klieng Sbek kami telah dihidangkan dengan realiti kehidupan manusia yang hidup serba kedaifan, dengan persekitaran yang tidak selamat serta kekurangan kemudahan infrastruktur telah menyentuh perasaan setiap peserta rombongan. Perasaan bercampur baur mula terpalit di benak hati kami apabila melihat sendiri persekitaran dan cara hidup mereka yang jauh lebih mundur dari kami yang menetap di Malaysia.
Setibanya di perkampungan Klieng Sbek, kedatangan kami telah disambut oleh penduduk kampung yang majoritinya beragama Islam. Apa yang membuatkan kami lebih terharu mereka sanggup menyediakan hidangan makan malam untuk kumpulan kami walaupun pada hakikatnya penduduk kampung ini hidup dalam serba kekurangan. Layanan yang diberikan oleh mereka kepada rombongan kami sangat baik, walaupun masalah komunikasi di antara kami dengan penduduk kampung agak terbatas akan tetapi terlihat jelas di raut wajah mereka yang begitu ikhlas dan ramah dalam melayan kami. Setelah selesai jamuan makan malam kumpulan kami beredar ke homestay untuk berehat.
Hari ke-2 di Klieng Sbek kumpulan kami telah memulakan aktiviti seawal subuh dengan aktiviti yang di jadualkan adalah meninjau kerja pemasangan perigi bagi membekalkan bekalan air bersih dan tenaga solar kepada penduduk kampung yang tinggal di perkampungan Kampung Chenang. Dengan keadaan yang serba daif serta kekurangan infrastruktur sebilangan dari mereka hanya bergantung hidup dengan hasil bumi sahaja. Dengan kehadiran kami ketika di sana seakan-akan memberi sinar harapan buat mereka, ini kerana sebelum ini mereka hanya bergantung hidup dengan tadahan air hujan dan kolam buatan sendiri. Hampir setiap malam mereka hidup bertemankan lampu pelita dan tiada kemudahan elektrik disediakan di rumah mereka. Apa yang lebih menyedihkan tempat ibadat juga tidak disediakan kemudahan elektrik untuk para jemaah bersolat. Dengan bantuan yang diberikan melalui program ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mereka selama ini. Sebanyak 19 perigi dan empat buah tenaga solar telah disediakan melalui sumbangan dari program ini.
Setelah selesai melawat perkampungan Chenang kami kembali semula ke Kampung Klieng Sbek untuk program bersama kanak-kanak dan penduduk kampung yang tinggal di perkampungan tersebut. Pelbagai acara telah kami anjurkan untuk merai mereka, antaranya progarm memasak bersama penduduk kampung, program suai kenal antara pelajar dan guru serta sedikit sumbangan berbentuk wang dan kelengkapan sekolah. Alhamdullilah program ini telah mendapat perhatian dari Duta Besar Malaysia ke Kemboja iaitu Datuk Seri Hassan Malik yang turut hadir dengan menjadi tetamu kehormat dalam menjayakan program Khidmat Masyarakat ini. Setelah selesai menjayakan program pada hari itu kumpulan kami telah bergerak ke Bandar Phnom Phen di situ kami telah menginap di sebuah hotel yang terletak di tengah-tengah pusat bandar Phnom Phen.
Hari ke-3 di Bandar Phnom Phen kumpulan kami telah di bawa oleh Ustaz Samad melawat Muzium Tuol Sleng Genocide di mana tempat ini merupakan tempat penyiksaan dan penjara masyarakat Kemboja mahupun warga asing pada zaman Rejim Khmer Rouge pada tahun 1975 hingga 1979 di dalam muzium ini banyak bilik-bilik penyeksaan dipamerkan.
Setelah selesai melawat Muzium Tuol Sleng Genocide kami telah dijemput oleh pihak kedutaan Malaysia di Kemboja untuk menghadiri majlis sambutan Hari Raya di Pejabat Besar kedutaan Malaysia di sana. Pelbagai acara seperti pertandigan karaoke, pakaian beragam dan juga masakan dari Malaysia yang lazat-lazat telah disediakan. Di situ kami sempat bersuai kenal dengan para tetamu yang hadir di majlis itu.
Selepas selesai jamuan hari raya di pejabat kedutaan Malaysia kumpulan kami telah dibawa oleh Ustaz Samad menaiki bot mengelilingi Sungai Mekong. Di situ kami dapat melihat keindahan panorama bandar Phnom Phen melalui jalan di sungai Mekong.
Hari ke-4, di Bandar Phnom Phen juga ada terdapat restoran yang menyediakan masakan di Malaysia seperti nasi lemak dan roti canai. kami mengambil kesempatan dengan bersarapan pagi di restoran Mamak Corner yang jaraknya tidak berapa jauh dengan hotel kami.
Setelah selesai dengan aktiviti bebas rombongan kami berkumpul semula di Phnom Penh International Airport, rombongan kami berlepas dari Phnom Penh International Airport lebih kurang 4.30 petang.
Alhamdullilah rombongan kami selamat tiba di KLIA2 lebih kurang jam 7.30 malam. Di sini apa yang boleh saya kongsikan sepanjang pengalaman saya ketika berada di bumi Kemboja pertama sekali rasa bertuah dan bersyukunya kerana dilahirkan di bumi Malaysia yang kaya dengan hasil bumi, rakyat dapat hidup dalam keadaan aman sentosa dan sejahtera jika hendak di banding dengan keadaan penduduk di Kemboja yang jauh ketinggalan dari pelbagai aspek. Kedua rasa insaf mula menyelubungi diri apabila melihat sendiri kesusahan yang dialami oleh penduduk kemboja ketika saya berada di sana. Akhir sekali dari saya jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua kawan-kawan yang sama-sama membantu dalam menjayakan program ini sehingga dapat berjalan dengan lancar dan jayanya walaupun sumbangan yang diberikan tidak seberapa besar akan tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka. Pelbagai kenangan dan pengalaman serta pengajaran dapat saya pelajari ketika menjalankan misi ini, sekiranya diberi peluang sekali lagi untuk mengadakan program seperti ini Insha Allah saya akan menyertainya.
No comments:
Post a Comment